KHAL MENURUT DALIL HADIS DAN KETERANGAN ULAMA PERUBATAN ISLAM








PENYEMBUHAN BERMULA DARI DIRI ANDA
(Healing Starts Within You)
PQSB yang berteraskan kepada "Khazanah Perubatan Islam" mengeluarkan berbagai-bagai makanan kesihatan yang didasarkan kepada Kitab-Kitab Perubatan Islam untuk penyembuhan berbagai-bagai penyakit. Alhamdulillah ribuan pesakit berjaya disembuhkan. Untuk mencapai penyembuhan yang sebaiknya, kami menyarankan kepada semua agar beramal atau berwirid dengan ayat-ayat asas perubatan mengharapkan pertolongan Allah lebih disegerakan. Sesungguhnya penyakit itu bukan sekadar masalah jasmani semata-mata tetapi sangat bergantung rapat dengan masalah rohani yang lebih luas terdedah kepada berbagai masalah penyakit dan masalah dalam kehidupan. Di sini kami mengesyorkan agar diamalkan wirid sepertimana yang kami pelajari dari guru-guru dan ulama Perubatan Islam dari dalam dan luar negara.
Caranya, pertama sekali hendaklah diniatkan iaitu :
"Ya Allah Ya Tuhanku, aku nak beramal dengan Selawat keatas Nabi SAW, Surah al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Nas sebanyak 3 kali setiap satu daripadanya selepas solat 5 waktu selama 1 minggu" untuk :
- Sebagai ibadah mendekatkan diriku kepada Engkau Ya Allah serta mendekatkan diri aku kepada ayat-ayat tersebut dengan hikmah kelebihannya dalam kehidupanku.
- Menguatkan roh jiwa rohani aku serta mempertahankan diri aku dari sebarang gangguan, godaan, hasutan, serangan sama ada dari jin, syaitan, iblis, sihir, santau, perbuatan jahat manusia dan seumpamanya.
- Mengubati penyakit yang aku alami, masalah anak-anak, suami/isteri, rezeki dan sebagainya (mengikut keperluan hajat serta masalah masing-masing).
Cara amalannya ialah :
- Mula amal selepas solat Maghrib dan diikuti dengan solat selepasnya iaitu Isya', Subuh, Zohor dan Asar selama 1 minggu, jangan selang (atau tertinggal) dalam tempoh 1 minggu tersebut, ertinya 7 hari X 5 waktu = 35 waktu semuanya. Sekiranya terselang (atau tertinggal) sama ada sengaja atau terlupa, maka dikehendaki ulang semula dari awal (mula lain sekali lagi).
- Bagi wanita yang berlaku keuzuran syarak bolehlah sambung semula selepas suci dan tidak perlu diulang dari awal.
- Setelah berjaya membaca dalam tempoh 1 minggu, maka anda bolehlah beramal mengikut kemampuan masing-masing sama ada 1 kali, 3 kali, 7 kali dan sebagainya pada bila-bila masa terluang sama ada selepas solat 5 waktu, masa hendak tidur, keluar rumah dan sebagainya.
Pengesahan: Semua amalan ini adalah satu ringkasan cara dan kaedah asas Ilmu Perubatan Islam untuk kita amalkan serta satu usaha ikhtiar menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi. Kaedah ini saya gabungkan dari guru-guru Perubatan Islam dalam dan luar negara yang saya pelajari dan mendapat ijazah daripada mereka. Kami doakan agar mendapat rahmat kesembuhan Ilahi. Amin
"Setelah dilakukan amalan ini, akan terserlah suatu keindahan dalam hidup anda, insya-Allah."
USTAZ ABDUL JAMIL BIN AHMAD
PETIKAN AL-QURAN & HADIS NABI SAW
(Untuk Renungan & Peringatan Bersama)
Orang Yang Beriman ....
Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang beriman itu luar biasa. Seluruh keadaannya baik. Tidak ada yang menyerupai orang yang beriman. Sewaktu dia bahagia, dia bersyukur. Itu baik baginya. Sewaktu dia susah, dia sabar. Itu juga baik baginya.(Hadis riwayat Muslim)
Ingatlah Kenikmatan dan Kesenangan Adalah Ujian
Kami mengujimu dengan kesusahan dan kesenangan dan kepada Kami kelak kamu kembali.
(Terjemahan al-Quran, surah al-Anbiya': 35)
Marilah Kita Amalkan 3 Wasiat Rasulullah SAW
Abu Hurairah (ra) berkata, "Kekasihku SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara:
- puasa tiga hari setiap bulan,
- solat dhuha dua rakaat,
- dan melaksanakan solat Witir sebelum tidur."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
4 Soalan Yang Akan Ditanya
Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda: "Kedua kaki seorang hamba tidak akan berganjak di hari qiamat kelak, sehingga ia ditanya tentang empat perkara:
- Tentang masa mudanya, untuk apa dia pergunakan?
- Tentang umurnya, untuk apa dia manfaatkan?
- Tentang ilmunya, apa yang dia perbuat dengannya?
- Dan tentang hartanya, dari mana ia mendapatkannya
dan untuk apa ia belanjakan?"(At-Tirmidzi no. 2417 dan ad-Darimi no. 537.
Lihat Majma' az-Zawa'id no. 18371 dan at-Targhib wat-Tarhib no. 210)
Jaga Larangan Allah Di Waktu Bersendirian
Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Tsauban (ra), dia berkata: 'Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya saya mengetahui orang-orang yang datang dengan kebaikan-kebaikan seperti gunung-gunung "Tihamah Bidh" pada hari qiamat, tetapi semuanya sia-sia belaka." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah mereka itu daripada kalangan kaum muslimin?" Rasulullah SAW bersabda: "Ya, mereka daripada kalangan kaum muslimin, mereka sembahyang sebagaimana kamu sembahyang, mereka berpuasa sebagaimana kamu berpuasa dan mereka juga rajin melaksanakan qiyamullail, akan tetapi apabila mereka dihadapkan dengan larangan-larangan Allah di kala mereka sendirian, mereka melanggarnya."'
(Ibnu Majah no 4245 dan dalam Musnad Asy-Syamiyyin terdapat pada no. 688.
Lihat Mishbah Az-Zujajah no. 1525 dan Tahdzib Al-Kamal, biografi no. 389)
Kembalikan al-Quran Dalam Hidup Kita
Imam at-Tirmidzi dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Umamah (ra) bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah suatu kaum itu sesat (berpaling) setelah mereka mendapat hidayah (al-Quran) yang diberikan kepada mereka, melainkan mereka akan dijerumuskan menuju jurang perselisihan dan perpecahan."
(Ahmad no 21660, at-Tirmidzi no 3253 dan Ibnu Majah no 48.
Lihat kitab al-Misykat no 180 dan hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim no 3721)
Azab Penghuni Neraka Yang Paling Ringan
An-Nu'man Bin Basyir (ra) menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ahli neraka yang paling ringan azabnya adalah orang yang memakai sandal (kasut) dan kedua talinya terbuat dari api neraka yang (kerananya) otaknya menjadi mendidih seperti (air di dalam) cerek yang mendidih. Ia melihat bahawa tidak ada orang yang paling pedih seksanya selain darinya. Sesungguhnya hal itu adalah azab penghuni yang paling ringan."
(Riwayat Muslim)
Faktor Utama Seseorang Masuk Syurga atau Neraka
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah (ra), Rasulullah SAW ditanya: "Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan seseorang masuk syurga?" Jawab Baginda: "Takwa dan akhlak yang baik." Baginda juga ditanya: "Apakah perkara yang paling banyak menyebabkan seseorang masuk neraka?" Baginda menjawab: "Dosa rongga - mulut dan faraj."
(Sunan Ibn Majah)
Bersyukurlah Jika Anda Diberi 4 Perkara Ini
Daripada ibnu Abbas (rh), Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat empat perkara yang sesiapa diberinya, maka ia telah diberi kebaikan dunia dan akhirat, iaitu:
- lisan yang selalu berzikir kepada Allah,
- hati yang bersyukur,
- badan yang sabar dengan cubaan,
- dan isteri yang tidak mengkhianatinya
kerana takut kepada dirinya dan tidak pada hartanya."(Riwayat al-Thabrani)
Kehidupan Dunia Hanyalah Senda Gurau dan Main-main
Dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui."
(Terjemahan al-Quran, surah al-Ankabut : 64)
5 Rintangan Bagi Seorang Mukmin
Daripada Anas (ra), Nabi SAW bersabda: "Orang mukmin berada dalam lima keadaan yang menyusahkannya:
- Orang mukmin yang dengki kepadanya.
- Orang munafik yang benci kepadanya.
- Orang kafir yang memeranginya.
- Nafsu yang melawan untuk mengalahkannya.
- Syaitan yang menyesatkannya."
(Riwayat Abu Bakar ibn Lal)
2 Nikmat Yang Selalu Disia-siakan
Diriwayatkan daripada ibnu Abbas (rh), Nabi SAW bersabda: "Dua jenis nikmat yang selalu disia-siakan oleh sebahagian besar daripada manusia iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang."
(Riwayat al-Bukhari no. 6049, at-Tirmizi no. 2304, ibnu Majah no. 4170,
Ahmad no. 3038, ibnu Asakir no. 835, al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman no. 10249)
Bertaubatlah Dari Terus Melakukan Dosa-dosa Kecil
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dosa yang paling besar di sisi Allah SWT ialah dosa yang dianggap paling kecil di sisi manusia. Sebaliknya, dosa yang paling kecil di sisi Allah ialah dosa yang dianggap paling besar di sisi manusia."
(Riwayat Abu Laith al-Samarqandi, hlm. 187)
Berpada-pada Dalam Gurau Senda dan Gelak Ketawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang lelaki yang berkata-kata dengan perkataan yang membuatkan kawan-kawannya ketawa, maka dia akan dihumbankan ke dasar Neraka Jahanam selama 70 tahun."
(Diriwayatkan dengan lafaz berbeza oleh Imam at-Tirmizi no. 2314, ibnu Majah no. 3970, ibnu Hibban no. 5706)
Orang Yang Paling Bijak
Diriwayatkan daripada Syadad Bin 'Aus daripada Nabi SAW bersabda: "Orang yang paling bijak ialah sesiapa yang mengawal keinginan nafsunya dan beramal untuk perkara selepas kematian.
Dan orang yang lemah ialah sesiapa yang mengikuti keinginan hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah SWT (untuk mendapat Syurga dan rahmat-Nya)."
(Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad, ibnu 'Asakir, al-Baihaqi)
Malaikat Maut Ziarah Kita 70 Kali Sehari (Setiap 21 Minit)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini sedangkan aku diutus oleh Allah SWT untuk mencabut nyawanya tetapi dia masih berseronok bergelak ketawa.'"
(Riwayat Abdulah Bin Abbas r.a.)
Penghafal Al-Quran adalah Ahli Allah Di Muka Bumi
Daripada Anas Bin Malik (ra), Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai ahli daripada kalangan manusia." Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?' Baginda berkata, "Merekalah ahli al-Quran iaitu ahli Allah dan pilihan-Nya."
(Riwayat ibnu Majah no. 215)
Ayat Seribu Dinar
... dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Terjemahan al-Quran, surah at-Talaq : akhir ayat 2 - 3)
Kelebihan Puasa Sunat Hari 'Asyura (10 Muharram)
Diriwayatkan oleh Qatadah (ra) yang bermaksud: "Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari 'Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: 'Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu.'"
(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Cintakan Rasulullah Tanda Kesempurnaan Iman
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak (sempurna) iman salah seorang kamu sehingga aku lebih dicintai dari orang tuanya, anaknya dan semua manusia lainnya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Marahnya Rasulullah SAW
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.
Ingin rasanya aku menyuruh seseorang menggantikanku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah lalu dibakar rumah-rumah mereka."
(Riwayat Muslim)
7 Golongan Yang Mendapat Perlindungan Arasy Sewaktu Di Padang Mahsyar
Daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindungan-Nya:
- Imam (pemimpin) yang adil.
- Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
- Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
- Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
- Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik (untuk berbuat maksiat/berzina) lalu ia berkata, "Aku takut kepada Allah".
- Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya.
- Orang yang munajat kepada Allah sambil berlinangan airmatanya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ingatlah Allah Ketika Senang
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Peliharalah perintah dan larangan Allah, pasti kamu selalu berasakan kebersamaan Allah denganmu. Ingatlah Allah ketika engkau senang, pasti Allah mengingat engkau ketika engkau dalam kesusahan."
(Riwayat al-Tirmizi)
Janganlah Kita Dilalaikan
Perbuatan bermegah-megahan dan berlumba-lumba telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk ke dalam kubur.
(Terjemahan al-Quran, surah al-Takathur : 1-2)
Bekalan Menuju Destinasi Terakhir
Sabda Rasulullah SAW kepada Abu Zar (rh) yang bermaksud: "Sekiranya engkau ingin mengembara adakah kamu menyiapkan bekalan? Jawab Abu Zar, "Ya." Sabda Nabi SAW: "Bagaimana dengan mengembara menuju hari kiamat, wahai Abu Zar, mahukah kamu aku beritahukan perkara yang memanfaatkan kamu pada hari itu?" Jawab beliau: "Bahkan mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku." Sabda Nabi SAW: "
- Berpuasalah pada hari panas terik demi menghadapi hari kebangkitan.
- Sembahyanglah dua rakaat di tengah malam yang gelap demi menghadapi kesepian kubur.
- Tunaikanlah haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar.
- Hulurkanlah sedekah untuk orang miskin.
- Ungkapkanlah kalimah yang benar.
- Diamlah dari menuturkan kalimah yang tercela."
(Riwayat Ibn Abi Dunya)
Buat Pilihan
Barang siapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka di dunia dengan kesempurnaan dan mereka di dunia tidak dirugikan.
Itulah orang yang tidak memperolehi apa-apa di akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.
(Terjemahan al-Quran, surah Hud : 15-16)
Kelebihan Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijjah)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa pada Hari Arafah itu menghapuskan dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang."
(Riwayat Muslim)
Jadilah Seorang Pejuang
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang mujahid (pejuang) ialah mereka yang berjuang melawan hawa nafsunya sendiri."
(Riwayat al-Tirmizi)
Dirikanlah Solat Untuk Mengingati Allah
Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.
(Terjemahan al-Quran, surah Taha : 14)
Surah yang telah mengIslamkan Sayyidina Umar Al-Khattab (ra)
Manfaatkan Waktu Malam
Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadat) itu lebih kuat (mengisi jiwa); dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.
(Terjemahan al-Quran, surah al-Muzzammil : 6)
Perelokkanlah Solat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang hamba bersolat dengan cara yang baik, solat itu naik dan mengeluarkan cahaya. Apabila ia mencapai pintu-pintu langit, pintu-pintu langit terbuka baginya lalu ia memberi syafaat kepada orang yang mengerjakannya. Solat itu berkata, 'Allah memelihara kamu seperti kamu memelihara aku.'
Apabila seseorang melakukan solat dengan cara yang salah dan tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan tata caranya, solat itu naik tanpa cahaya serta berkata kepada orang yang melakukannya, 'Allah mensia-siakan engkau seperti engkau mensia-siakan aku.' Selepas ia sampai ke pintu-pintu langit, pintu langit tertutup baginya. Kemudian, solat yang tidak sempurna itu terlipat seperti terlipatnya kain kotor dan ia memukul muka orang yang melaksanakannya."
(Riwayat Thabrani dan Bazzar)
Dekatkanlah Diri Pada Allah SWT
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT berfirman: 'Apabila hamba-Ku mendekati Aku satu jengkal, Aku mendekatinya satu hasta. Apabila hamba-Ku mendekati Aku satu hasta, Aku mendekatinya satu depa. Apabila hamba-Ku mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan berlari.'"
(Riwayat Ibnu Majah)
Peliharalah Diri Dan Keluarga Daripada Api Neraka
Wahai orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
(Terjemahan al-Quran, surah al-Tahrim : 6)
Jadikan Akhirat Puncak Cita-Cita
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menjadikan dunia ini sebagai terminal akhir cita-citanya, pasti Allah menyusahkan urusannya, menjadikan kepapaan menghantui dirinya dan dia hanya mendapatkan harta duniawi seperti yang ditetapkan Allah baginya. Sebaliknya, siapa yang menjadikan akhirat sebagai puncak cita-citanya, Allah memudahkan segala urusannya dan mewujudkan kepuasan dalam hatinya. Sementara itu, dunia tunduk kepadanya."
(Riwayat Ibnu Majah)
Solat Duha Mendatangkan Rezeki
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat duha itu mendatangkan rezeki dan menolak kemiskinan dan tidak ada orang yang memelihara solat kecuali orang yang bertaubat."
(Riwayat al-Tirmizi)
Bangun Sebelum Rezeki Dibahagikan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai anakku, bangunlah dan hadapilah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi daripada kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia antara terbit fajar hingga terbit matahari."
(Riwayat al-Baihaqi)
Manfaatkan Umur dan Kehidupan Sebaik-baiknya
Demi Masa.
Sesungguhnya manusia dalam kerugian.
Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
(Terjemahan al-Quran, surah al-'Asr : 1-3)
Kelebihan Solat Tahajud
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat tahajud dapat menghapus dosa, mendatangkan ketenangan dan menghindarkan daripada penyakit."
(Riwayat al-Tirmizi)
Ikatan Syaitan Ketika Tidur
Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk seseorang dengan 3 ikatan ketika ia tidur. Lalu, syaitan memukul tempat tiap ikatan pada tengkuk orang yang sedang tidur sambil berkata: 'Tidurlah, kamu mempunyai malam cukup panjang.'
Apabila seseorang yang tidur itu bangun dan berzikir kepada Allah, lepaslah satu ikatan.
Lalu sekiranya ia pergi berwuduk, terurailah satu ikatan lagi dan manakala ia solat, lepaslah ikatan terakhir sehingga ia menjadi bersemangat dalam beribadah, terlepas segala ikatan kesempitan jiwa dan terlindungilah daripada rasa malas."
(Riwayat Bukhari)
Kasih Allah Buat Kekasih-Nya
Daripada Abu Hurairah (ra), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman (yang bermaksud): 'Sesiapa yang memusuhi kekasih-Ku, maka Aku menyatakan perang kepadanya. Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang Aku lebih sukai daripada apa yang Aku wajibkan atasnya. Tidak henti-henti hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku mencintai-Nya. Jika Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, menjadi penglihatannya yang dengannya ia melihat, menjadi tangannya yang dengannya ia memegang, menjadi kakinya yang dengannya ia berjalan. Jika ia meminta kepada-Ku, nescaya Aku mengabulkannya dan jika ia meminta perlindungan kepada-Ku, nescaya Aku melindunginya. Aku tidak pernah teragak-agak dalam sesuatu yang Aku putuskan, seperti teragak-agaknya Aku untuk mewafatkannya sebab dia benci akan kematian sedangkan Aku pula benci untuk menyakiti hatinya.'"
(Riwayat al-Bukhari)
Sentiasalah Bertaubat dan Beristighfar
Daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman: 'Aku bersama hamba-Ku selagi mana ia mengingati-Ku dan kedua-dua bibirnya bergerak (untuk berzikir).'"
(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
Jangan Sombong
Abu Hurairah (ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: 'Kemuliaan ialah serban-Ku dan kesombongan ialah sarung-Ku. Sesiapa yang menandingi-Ku dalam kedua-dua sifat itu, nescaya Aku akan melemparkannya ke dalam neraka.'"
(Riwayat Abu Daud, no 4092)
Naungan Allah
Daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman pada hari kiamat: 'Dimanakah orang yang bercinta kerana keagungan-Ku pada hari ini? Aku akan menaungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari yang tiada naungan kecuali naungan-Ku.'"
(Riwayat Muslim)
Bahaya Syirik
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT berfirman: 'Aku tidak memerlukan sekutu. Sesiapa yang melakukan satu amalan yang dalamnya ia menyekutukan Aku dengan selain-Ku, maka Aku meninggalkannya berserta sekutunya.'"
(Riwayat Muslim)
Selalulah Mendatangi Masjid
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kalian melihat seseorang pergi ke masjid, maka berilah kesaksian bahawa dia itu beriman, kerana Allah telah berfirman: 'Yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat ...'"
(Riwayat al-Tirmizi)
Jangan Terlalu Terpesona
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).
(Terjemahan al-Quran, surah Ali-Imran : 14)
Luangkan Waktu Untuk Beribadat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT berfirman: 'Hai anak Adam, luangkanlah waktumu bagi beribadah kepada-Ku. Pasti Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku menghindarkanmu daripada kemelaratan. Sekiranya tidak, Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan kerja dan Aku tidak menghindarkan kamu daripada kemelaratan.'"
(Riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Ikrar Iblis
Iblis menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku sebagai sesat, aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)."
(Terjemahan al-Quran, surah Al-A'raf : 16-17)
Semua Akan Dihadapkan Ke Neraka
Dan tidak ada seorang pun darimu, melainkan didatangkan kepadanya neraka. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian Kami akan menyelamatkan orang yang bertakwa dan membiarkan orang yang zalim di dalam neraka dalam keadaan berlutut.
(Terjemahan al-Quran, surah Maryam : 71-72)
Ganjaran Untuk Orang Soleh
Daripada Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: 'Aku menyiapkan untuk hamba-hamba Ku yang soleh, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengari oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia.'"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hubungi Kami Untuk Keterangan Lanjut :
012-9218264 (Azman) 012-9635499 (Rohanah/Shahiran) 09-7651984 (Pejabat)
012-9218264 (Azman) 012-9635499 (Rohanah/Shahiran) 09-7651984 (Pejabat)